Keunikan bahasa Arab terserlah melaui keistimewaan setiap perkataannya, walaupun nampak serupa tapi berlainan ertinya. Seperti contoh perkataan maaf dalam bahasa Arab boleh digunakan dengan غفر atau عفو, perkataan توبة dan إنابة diterjemahkan dalam bahasa Melayu: taubat, hakikatnya kesemuanya berbeza.
Dalam perbahasan ulama, perkataan غفر ialah pengampunan daripada Allah terhadap dosa hamba-hambaNya namun tidak terhapus daripada buku amalan, adapun perkataan عفو pula membawa erti pengampunan Allah terhadap dosa hamba-hambaNya sekaligus penghapusan dari direkodkan dalam buku amalan.
Contoh lain perkataan خفي dan خشي membawa makna seerti dalam bahasa Melayu iaitu takut, namun Allah gunakan dalam Al-Quran kedua-dua perkataan dalam menta'birkan makna yang berbeza. Analoginya begini, seorang penunggang motosikal sebelum memulakan penunggangannya membuat persediaan secukupnya kerana khuatir pada bahaya yang akan dihadapinya dalam penunggangannya. Maka takut ini ialah takut خفي. Adapun خشي pula adalah takut yang lebih besar, ketakutan pada masa yang lebih jauh iaitu ketakutan yang akan dihadapi selepas alam dunia ini, apakah akan diazab dalam kubur atau tidak, dan bagaimana pula di alam mahsyar kelak dan seterusnya, dan inilah perkataan yang Allah gunakan dalam menciri-cirikan sifat ulama warisan anbiya.
Allah gunakan setiap perkataan dalam Al-Quran tepat pada tempatnya, dan inilah salah satu
daripada i'jaz Al-Quran.
Justeru, berkaitan dengan tajuk di atas, harfiyah VS ma'nawiyah (baca: Terjemah secara harfiyah VS Terjemah secara ma'nawiyah), akan dirungkaikan lebih lanjut lagi.
Perlu difahami, terjemah harfiyah tidak mennjadikan hasil dapatan terjemahan itu sama nilainya dengan Al-Quran. Lihat kembali makna Al-Quran iaitu kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad dan merupakan satu mukjizat agung baginda serta menjadi suatu ibadah apabila membacanya. Fikirkan, apakan terjemahan Al-Quran kepada bahasa-bahasa lain masih akan mengekalkan makna-makna yang disebut sebentar tadi? Sama sekali tidak kerana kelebihan bahasa Al-Quran ke atas bahasa-bahasa lain. I'jaz Al-Quran hilang serta-merta dalam terjemahannya, membaca terjemahan tidak menjadikan ianya ibadah dan paling utama terjemahan Al-Quran itu tidak akan pernah sekali-kali menjadi kalam Allah. Maka, penekanan di sini, Al-Quran tidak sama dengan terjemahnya.
Bergerak pula kepada terjemah ma'nawiyah (seerti dengan terjemah tafsiriyah). Merujuk kembali makna terjemah ma'nawiyah, menjelaskan makna pemicaraan dengan bahasa lain tanpa terikat dengan tertib kata-kata bahasa asal atau memperhatikan susunan perkataannya. Namun begitu, perkara ini bukan mudah, Setiap bahasa mempunyai kaedah tatabahasa tersendiri, sedemikianlah juga bahasa Arab. Pada bahasa agung ini adanya nakirah dan ma'rifah, taqdim dan ta'khir, mazkur dan mahzuf serta bahasa ini mempunyai nilai balaghah yang tinggi yang tidak mampu digambarkan dengan bahasa yang lain.
Merujuk pembahagian makna (ma'ani: kata ganda), terdapat dua bahagian, asli dan tsanawi. makna asli ialah yang selari pemahamannya pada makna-makna lafaz yang digunakan.
Makna tsanawi pula adalah ciri-ciri atau sistem yang meningkatkan keadaan suatu kalam, adanya makna ini menjadikan Al-Quran itu suatu mukjizat. Maka proses ini merupakan suatu proses yang bukan mudah seperti dinyatakan dalam muqaddimah sebentar tadi.
As-Syatibi menyatakan dalam persepakatan makna asli dan tsanawi, "Penterjemahan Al-Quran dalam wajah pertama; makna asli, dibolehkan kerana penafsiaran Al-Quran yang sahih dan bayan (penjelasan) makna-makna secara umum."
Namun, tidak dinafikan boleh berlakunya kekurangan dalam penterjemahan dalam makna yang asli kerana satu perkataan bahasa Arab boleh membawa lebih daripada satu erti maka penterjemah boleh jadi meninggalkan makna-makna yang lain dan mengambil satu makna yang paling sesuai. Malah boleh jadi juga sesuatu lafaz dalam Al-Quran itu membawa makna majazi, tetapi penterjemah menggunakan perktaan seerti yang membawa makna hakiki.
Oleh sebab itu, As-Syatibi mengeluarkan penyataan di atas dalam usaha penterjemahan Al-Quran pada makna asli dan sebahagian ulama mengkhususkan perkara sebegini dalam hal darurat kerana mencapai satu keperluan dalam meluaskan dan mengembangkan kegiatan dakwah.
Dan tidak dinafikan pada masa kini manusia mandapat manfaat daripada usaha penterjemahan Al-Quran ke dalam bahasa asing-asing. لكل مقام مقال. Namun dalam memahami Al-Quran perlu kepada irsyad para alim ulama yang muktabar. Atas sebab itu, adanya cabang dalam ulum Al-Quran iaitu tafsir Al-Quran.
No comments:
Post a Comment